KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memutuskan untuk memulakan siasatan berhubung pengurusan, tatakelola kewangan dan pelaksanaan fizikal Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC akan meneliti secara mendalam bagaimana kelemahan dalam pelaksanaan projek itu boleh berlaku walaupun pelbagai jawatankuasa pemantauan telah ditubuhkan di peringkat negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, PAC turut mempersoalkan kewajaran sistem pemantauan sedia ada yang meluluskan pembayaran projek sedangkan kemajuan fizikal di lapangan tidak berpadanan dengan jumlah dana awam yang dibelanjakan.
“PAC akan memperhalusi secara mendalam bagaimana perkara sedemikian boleh terjadi walaupun terdapat pelbagai jawatankuasa pemantauan yang telah ditubuhkan di peringkat Negeri dan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Mas Ermieyati berkata, PAC akan memanggil saksi daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk JKR Sabah serta agensi dan pihak berkaitan untuk memberikan keterangan dalam prosiding yang bakal diadakan.
Beliau menegaskan, PAC tidak akan teragak-agak merujuk sebarang dapatan yang menunjukkan indikasi salah laku, rasuah atau penyelewengan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Sekiranya prosiding PAC menemukan sebarang indikasi salah laku, rasuah, atau penyelewengan kuasa, PAC tidak akan teragak-agak untuk merujuk dapatan tersebut kepada SPRM dan PDRM untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mas Ermieyati turut menegaskan komitmen PAC untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh bagi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi peraturan demi mencapai objektif pembangunan negara. – MYNEWSHUB


