KUALA LUMPUR: Seorang peguam menggariskan langkah yang boleh diambil oleh wanita Malaysia sekiranya pengguna X menggunakan chatbot AI Elon Musk – Grok, untuk menyingkirkan pakaian atau tudung daripada gambar mereka secara digital.
Laporan mendapati beberapa pengguna X menggunakan Grok untuk menghasilkan imej wanita, termasuk kanak-kanak, dalam pakaian mendedahkan badan atau tanpa tudung tanpa kebenaran. Satu akaun yang diwujudkan dua bulan lalu didapati khusus untuk tujuan ini.
Peguam Azira Aziz menasihatkan mangsa untuk melaporkan hantaran berkenaan terus kepada X dan mendokumenkan penyalahgunaan itu melalui tangkapan skrin serta pautan dalam satu fail PDF. Fail itu boleh digunakan untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui portal dalam talian, selain membuat laporan polis dengan menyertakan PDF sebagai bukti sokongan.
Bagaimanapun, hingga 3 petang semalam, beberapa mangsa luar negara yang melaporkan kandungan berkenaan mendapati aduan mereka ditolak, dengan pihak platform mendakwa ia tidak melanggar garis panduan komuniti.
Grok, yang berfungsi sebagai pembantu AI untuk menjawab arahan apabila ditag dalam hantaran, mengakui pada 1 Januari bahawa menghasilkan imej dua kanak-kanak perempuan di bawah umur melanggar garis panduan dan berpotensi menyalahi undang-undang AS berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
AFP melaporkan bahawa Grok sedang memperbaiki kelemahan sistemnya selepas dakwaan ia menukar imej wanita dan kanak-kanak menjadi kandungan erotik.
Di peringkat antarabangsa, pihak berkuasa di Perancis dan India telah merujuk perkara ini kepada pendakwaan kerana penyebaran kandungan seksual dan seksis yang tidak sah.
BHonline-


