Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR, 28 Januari – Dua aktivis yang menentang pencerobohan tanah bagi pembinaan kuil haram, Tamim Dahri (Tanah Melayu) dan Islah Wahyudi (Randuk Malaysia) telah diambil tindakan oleh pihak polis termasuk salah seorang ditahan semalam.


Perkembangan itu didedahkan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, PPMM menyatakan kebimbangan serius terhadap tindakan pihak berkuasa menahan kedua aktivis berkenaan yang aktif mendedahkan dan mengkritik isu pencerobohan tanah serta pembinaan rumah ibadat haram.
Menurut Hisham, Tamim Dahri disiasat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telefon bimbitnya dirampas, manakala Islah Wahyudi ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sebelum polis memohon perintah reman terhadapnya di Mahkamah Sepang.
Bagaimanapun, Majistret Khairatul Animah Jelani menolak permohonan reman tersebut dan mengarahkan Islah Wahyudi dibebaskan serta-merta, jelasnya.
“PPMM menegaskan bahawa individu yang membongkar pencerobohan tanah, membuat laporan atau mengkritik pembinaan rumah ibadat haram tidak seharusnya dilayan sebagai penjenayah.
“Sebaliknya, sebarang keperluan siasatan perlu dijalankan mengikut lunas undang-undang tanpa unsur ugutan, rampasan atau penahanan yang bersifat intimidasi,” katanya.
Menurut beliau lagi, tindakan penahanan dan rampasan sedemikian, jika berterusan, berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang serta menimbulkan persepsi penyalahgunaan kuasa bagi menakutkan orang awam daripada mendedahkan salah laku.
Hisham turut mengingatkan pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), supaya menggunakan kuasa yang diamanahkan bagi mengambil tindakan terhadap penceroboh tanah tanpa bersikap memilih, selaras dengan prinsip keadilan dan Perlembagaan Persekutuan.- MYNEWSHUB




