KLUANG: Seorang lelaki berstatus duda ditahan berkhalwat bersama seorang wanita dalam khemah yang dipasang di ruang tamu sebuah rumah pusaka di daerah ini, pagi semalam.
Khemah itu dipasang kerana rumah pusaka keluarga lelaki itu dalam proses pengubahsuaian ketika serbuan dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada jam 3.30 pagi.
JAINJ berkata, bertindak atas maklumat awam, anggota penguat kuasa tiba di rumah itu dengan keadaan di luar bergelap, namun pintu tidak berkunci dari dalam.
“Anggota penguat kuasa memasuki rumah itu melalui pintu utama, namun pemeriksaan tidak menemui sesiapa pada ketika itu sehinggalah terpandang khemah dipasang di ruang tamu.
“Anggota kemudian ternampak seakan-akan ada individu di dalam khemah itu lalu memanggilnya keluar.
“Seorang lelaki berseluar panjang dan berbaju keluar dari khemah dan dia kelihatan mamai kerana mungkin terkejut daripada lena. Anggota menyuluh ke dalam khemah dan kemudiannya keluar seorang wanita berkain batik dan baju T. Hasil temubual mendapati mereka bukan suami isteri serta tiada hubungan mahram,” katanya dalam kenyataan.
Menurut JAINJ, soal siasat ke atas mereka juga mendapati lelaki dan wanita itu masing-masing berusia 40-an dan bekerja di daerah sama.
“Lelaki itu mungkin kesunyian dan rumah itu adalah peninggalan ibu bapanya dan kini dalam dalam proses pengubahsuaian.
“Mereka memasang khemah kerana tingkap dan pintu belum dipasang, jika tidak orang kampung akan melihat tindakan mereka. Ketika pemeriksaan, terdapat toto dan bantal ditemui dalam khemah.
“Berdasarkan maklumat awam, wanita itu tinggal pada jarak kira-kira 10 kilometer dan dia kerap datang ke rumah lelaki untuk bermalam bersama-sama.
“Pasangan ini ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997,” katanya.
BHonline-


