Johor Bahru: Seorang lelaki yang mendakwa dalam proses bercerai ditangkap berkhalwat dengan anak dara oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah hotel di Permas Jaya di sini, kelmarin.
JAINJ dalam kenyataan berkata, ketika serbuan di bilik tingkat tiga hotel berkenaan kira-kira jam 12.50 malam, pintu dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap setelah lima minit diketuk.
“Keadaan bilik gelap. Lelaki tersebut memaklumkan dia berseorangan dalam bilik terbabit. Bagaimanapun pemeriksaan mendapati ada pakaian dalam wanita di atas kerusi.
“Penguat kuasa mengetuk pintu bilik air dan tidak lama kemudian keluar seorang wanita dalam keadaan berkemban,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
JAINJ memaklumkan, lelaki terbabit berumur 30-an, sudah berkahwin, manakala wanita berkenaan berusia 20-an dan mereka tiada sebarang ikatan perkahwinan.
Katanya, soal siasat mendapati lelaki berkenaan adalah senior yang banyak mengajar pengalaman kerja kepada wanita terbabit dan hubungan mereka disyaki skandal sebelum wanita mengambil keputusan berpindah tempat kerja.
“Lelaki terbabit mendakwa dalam proses cerai dan sudah lama tidak tinggal sebumbung dengan isterinya.
“Pasangan ini mendakwa telah bertunang walaupun lelaki masih ada isteri lagi. Mereka dijangka akan berkahwin sebaik saja perceraian lelaki selesai,” katanya.
Pasangan itu ditangkap mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
-Harian Metro


