PULAU BALI – Tular sebuah video memaparkan detik seorang pelancong terkejut menemui ‘air terjun’ berbau busuk seperti kumbahan manusia ketika berjalan di sekitar Pantai Suluban, Bali.
Rakaman tersebut dimuat naik oleh akaun TikTok @doradeexplorer yang menunjukkan lelaki berkenaan menghampiri aliran air dari salah satu tebing sebelum meluahkan rasa jijik terhadap bau kuat yang disyakinya berpunca daripada tangki kumbahan.
Dalam video itu, dia turut menunjukkan lengannya selepas terkena percikan air tersebut sambil berkata: “Air apakah ini? Baunya sangat busuk! Saya yakin air itu berasal dari tangki kumbahan!”
Lebih mengejutkan, beberapa pelancong lain dilihat sedang mandi di bawah tebing berkenaan, dipercayai menyangka ia air terjun semula jadi.
Penghulu Pecatu memaklumkan bahawa pemeriksaan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar aliran air berbau tersebut.
Setakat ini, video berkenaan telah meraih lebih 2.6 juta tontonan dan mengundang pelbagai reaksi netizen. Ada yang mendakwa Pantai Suluban sememangnya terkenal dengan masalah bau kurang menyenangkan.— MYNEWSHUB


