KUALA LUMPUR – Rakaman video yang tular merakam detik menakutkan ketika banjir kilat melanda kawasan Kayu Pasak, Salareh Aia, Palembayan di Kabupaten Agam, Sumatera Barat, Indonesia, sekali gus menggambarkan skala bencana yang berlaku.
Menurut laporan pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 914 mangsa disahkan maut, manakala 389 lagi masih dilaporkan hilang selepas kejadian banjir besar dan aliran debris yang melanda beberapa kawasan di wilayah itu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dalam keadaan cuaca tidak menentu, sementara jumlah korban dijangka meningkat berikutan beberapa kawasan masih terputus hubungan.
Kerajaan Indonesia turut menggerakkan pasukan tentera, polis serta Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) bagi mempercepat usaha menyelamat serta menyalurkan bantuan kecemasan kepada penduduk terjejas.


