MELAKA: Pengusaha sekolah pondok dari Tumpat, Kelantan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah, kali ini atas tiga pertuduhan jenayah seksual membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.
Mohamad Aswadi Yah, 46, atau lebih dikenali ‘Abuya’ yang juga mudir sebuah pusat pengajian pondok, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim
Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Rohatul Akmar Abdullah, sebelum memohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii tanpa kerelaannya (memaksa mangsa melakukan seks oral).
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, pada 4 Ogos lalu, kira-kira jam 7.30 pagi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin, mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan, mengambil kira keseriusan kes serta risiko gangguan terhadap saksi.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Irwan Sumadi merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya yang juga bapa kepada empat anak mengalami masalah kesihatan termasuk sakit tulang belakang, tekanan darah rendah dan penyakit saraf.
Beliau juga memaklumkan anak guamnya sebelum ini didakwa dengan 18 pertuduhan lain di Kelantan, Terengganu dan Perak antara 11 September hingga 17 Oktober lalu dengan jumlah jaminan keseluruhan RM93,000.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan, dilarang berada dalam radius 30 kilometer dari mangsa, tidak mengganggu atau mendekati mana-mana saksi pendakwaan serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Pada 19 November lalu, Mohamad Aswadi turut didenda RM1,950 oleh Mahkamah Syariah Tumpat selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan kebenaran mengendalikan pengajian di pusat pengajiannya.
BHonline-


