KOTA BHARU: Seorang mudir pondok pengajian agama di Kelantan yang dikenali sebagai Abuya bakal berdepan enam lagi pertuduhan berkaitan jenayah seksual terhadap remaja lelaki dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata suspek yang berusia 46 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen sebaik sahaja siasatan dan proses pendakwaan dilengkapkan.
Katanya, pada minggu lalu, suspek sudah berdepan dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas membabitkan kes amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki selain pemilikan bahan lucah yang dijumpai di dalam telefon bimbit milik suspek.
“Bukan itu sahaja, suspek turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin lalu atas kesalahan sama membabitkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, polis menahan semula suspek selepas menerima aduan baharu daripada seorang lagi mangsa lain yang berusia belasan tahun di lokasi yang sama.
“Dalam masa terdekat enam lagi pertuduhan akan dibuat terhadap suspek selepas ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, difahamkan suspek mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengasas perniagaan di negeri ini selain terdapat pengikut tersendiri di media sosial.
Media sebelum ini melaporkan, suspek pertama kali didakwa di Mahkamah Seksyen Pasir Mas pada 11 September lalu atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.
Tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan terbabit dan dibebaskan dengan ikat jamin RM45,000.
Pada 19 September lalu, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, suspek didakwa dengan dua lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki dan diikat jamin RM18,000.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 November depan.
BHonline-


