KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini mengesahkan melepaskan jawatannya susulan dakwaan melibatkan pemberian wang melebihi RM600,000 oleh seorang ahli perniagaan bernama Terence Tei.
Menurut laporan Malaysiakini, Tei mendakwa beliau menyerahkan lebih RM600,000 kepada Shamsul bagi tujuan tertentu, namun dakwaan itu belum disahkan oleh pihak berkuasa.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung siasatan berkaitan dakwaan tersebut.
Dalam hantaran di platform X, Shamsul memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri pagi tadi.

“Saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai setiausaha politik kanan Perdana Menteri,” katanya ringkas tanpa memperincikan sebab peletakan jawatan tersebut.
Shamsul yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya sebelum ini turut dikaitkan dengan kontroversi surat sokongan berkaitan urusan perniagaan, namun beliau menegaskan bahawa segala tindakan adalah mengikut prosedur.

Setakat ini, pihak Pejabat Perdana Menteri belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai peletakan jawatan Shamsul, manakala Tei juga belum memberikan penjelasan lanjut berhubung dakwaan tersebut.— Mynewshub



