KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan sementara siaran siri animasi ‘Santiago of the Seas’ di TV2 susulan aduan penonton berhubung kandungan episod 22 yang disiarkan semalam.
Menurut Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran, RTM mengambil maklum beberapa pandangan berhubung kandungan siri animasi yang disiarkan di TV2 pada jam 10 pagi semalam.
“Berdasarkan laporan Penilaian Kandungan dan semakan yang dilaksanakan, tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu.
“Namun, bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri itu,” katanya dalam kenyataan kepada BH hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengatakan siri kartun ditayangkan di TV2 memaparkan babak yang didakwa budaya songsang kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menurut warganet di aplikasi Treads, memuat naik hantaran dia terkejut melihat babak dua lelaki bercium ketika menonton siri itu bersama anaknya.
RTM berkata, RTM kekal komited untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak.
“Sehubungan dengan itu, RTM memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menimbulkan spekulasi yang tidak wajar serta merujuk terus kepada RTM bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
-Berita Harian


