SHAH ALAM – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf atas kesilapan pengulasnya yang tersilap menyebut nama Presiden Republik Indonesia ketika siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dalam satu kenyataan, Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia memaklumkan hasil siasatan dalaman mendapati pengulas berkenaan secara tidak sengaja menyebut nama Joko Widodo, sedangkan Presiden Indonesia ketika ini merupakan Prabowo Subianto.
“Pihak RTM memandang serius perkara ini dan tindakan sewajarnya telah diambil.
“RTM dengan ini memohon maaf kepada Presiden dan kerajaan Republik Indonesia serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook RTM pada Ahad.
Menurut kenyataan itu lagi, RTM akan memperketat kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat yang disiarkan lebih tepat serta berintegriti.
Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini menjadi tuan rumah sidang kemuncak berkenaan yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.
-Sinar Harian


