KUALA LUMPUR, 18 Nov – Seorang peniaga lelaki ditahan polis selepas bertindak mengganggu dan menyerang seorang aktivis yang sedang melakukan siaran langsung di platform TikTok berhubung isu peniaga warga asing di Pusat Bandar Utara, Selayang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika pengadu bersama beberapa anggota badan bukan kerajaan (NGO) SurPlus sedang menjalankan tinjauan awam secara aman.
Menurutnya, siaran langsung itu dilakukan sebagai usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai isu rakyat serta peraturan berkaitan aktiviti perniagaan warga asing.
“Seorang lelaki menaiki motosikal secara tiba-tiba datang mengganggu dengan membuat bunyi bising menggunakan ekzos, selain mengeluarkan kata-kata kesat, ejekan dan fitnah terhadap pengadu.
“Suspek kemudian menjadi agresif apabila menghampiri rakan pengadu, menyoal sebelum menolak badan individu tersebut dan cuba menumbuknya di hadapan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tindakan suspek bukan sahaja mencetuskan suasana kecoh, malah menimbulkan ketakutan kepada aktivis serta orang awam yang berada di lokasi.
Menurutnya, kejadian itu berlaku tanpa sebarang provokasi daripada pengadu atau orang sekeliling.
Polis menerima laporan mengenai insiden tersebut pada jam 6.44 petang semalam dan susulan itu menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun pada jam 11.50 pagi tadi di Kompleks Pasar Borong, Pusat Bandar Utara.
“Semakan mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau serta tiga rekod berkaitan kes dadah. Permohonan reman akan dibuat esok,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (sengaja menyebabkan cedera), Seksyen 506 (ugutan jenayah) dan Seksyen 509 (mengeluarkan perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan seseorang).
Terdahulu, dua video tular di Facebook rasmi SurPlus menunjukkan seorang lelaki bertindak kasar ketika aktivis sedang menjelaskan peraturan negara, khususnya berkaitan larangan warga asing berniaga di kawasan tersebut.
SurPlus dalam kenyataannya menjelaskan bahawa siaran langsung berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai peraturan perniagaan dan peranan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal aktiviti perniagaan warga asing. -MYNEWSHUB


