Putrajaya: Kerja-kerja pembaikan serta naik taraf fasiliti kesihatan di Sabah kini berada pada tahap 70 peratus siap, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, ia membabitkan klinik kesihatan (KK), klinik desa (KD) dan klinik daif.
Menurutnya, usaha membina semula dan menaik taraf klinik sudah bermula sejak 2018 dan diteruskan secara intensif sepanjang tahun ini.
“Sebanyak 154 klinik di Sabah sudah dilaksanakan kerja pembaikan dan naik taraf dengan peruntukan RM76.28 juta.
“Berbaki kira-kira 30 peratus fasiliti lagi yang sedang dalam proses pembaikan dan kementerian sedar mengenai keadaan struktur lama, termasuk klinik kayu yang memerlukan intervensi segera.
“Kerajaan komited mempercepatkan baki projek supaya rakyat Sabah dapat menikmati fasiliti kesihatan lebih selesa dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Wira MADANI @25 Tahun sempena sambutan Jubli Perak Hospital Putrajaya (HPj) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengarah HPj, Dr Suraya Amir Husin.
Terdahulu media melaporkan, sebanyak 160 klinik di seluruh Sabah masih dikategori sebagai daif dan berstruktur kayu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dilapor berkata daripada jumlah itu, 21 klinik sudah dirobohkan dan dibina semula yang dijangka siap hujung tahun ini.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, pada 2023 sebanyak 27 klinik sudah dinaik taraf dengan peruntukan RM10.8 juta.
Katanya, pada 2024 sebanyak 65 klinik sudah dinaik taraf membabitkan kos RM21.5 juta serta 62 klinik pada 2025 dengan kos RM43.98 juta.
-Harian Metro


