PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat isu berkaitan dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) proses kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi Malaysia.
EAIC dalam kenyataan berkata, pasukan khas itu ditubuhkan pada Selasa selaras dengan Subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Pasukan Petugas Khas ini akan diketuai oleh Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham (Timbalan Pengerusi EAIC) bersama ahli-ahli Suruhanjaya iaitu Datuk Siti Zainab Omar, Datuk Seri Dr Yusof Ismail dan Datuk Ong Lam Kiat serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC.
“Berdasarkan keputusan Mesyuarat Suruhanjaya Bil 11/2025 yang diadakan pada hari ini, mesyuarat telah memutuskan agar EAIC menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur yang berkaitan dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain berkenaan,” katanya pada Selasa.
Tambah EAIC, pihaknya memohon kerjasama penuh semua agensi dan pihak berkaitan sepanjang proses siasatan dijalankan memandangkan isu tersebut melibatkan kepentingan awam dan integriti negara di peringkat antarabangsa.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung kes pemalsuan dokumen ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam satu kenyataan rasmi, FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Susulan keputusan berkenaan, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kepada FIFA.
Tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (lebih kurang RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
-Sinar Harian


