KUALA LUMPUR: Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dijangka tiba di tanah air pada jam 10 malam ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau Nadir Al-Nuri menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
“Esok Rabu, kita bersolidariti sekali lagi di Axiata Arena jam 6 petang. Saya dan rakan-rakan nak sampaikan mandat dan pesan dua tahun G (Gaza) dibantai badai genosid. Ya, hari ini 7 Oktober bermakna sudah dua tahun mereka dibunuh. Ini bukan tentang kami, ia tentang mereka. Kami hanya menumpangkan semangat dan suara agar kita terus bertindak tanpa teragak, peduli tanpa henti. Ia tentang mereka,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata semua aktivis berkenaan akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Khamis lalu, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Kesemua mereka dilapor dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu, sebelum tiba di Istanbul, Turkiye pada 8.40 malam waktu Malaysia.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi, Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh, Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid Ahmad dan Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
BHonline–


