KUALA LUMPUR: Aliran trafik di semua lebuh raya bertol di Lembah Klang secara keseluruhannya bergerak lancar setakat jam 2.55 petang tadi.
Bagaimanapun, berdasarkan kemas kini info aliran trafik oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di laman sosial, trafik dilaporkan bergerak perlahan dan dijangkakan kelewatan di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan di beberapa lebuh raya di sempadan negara.
Antara lebuh raya dan kawasan yang terbabit ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan iaitu Permatang Pauh ke Juru Auto City.
Di PLUS arah utara pula berlaku aliran trafik perlahan selepas Plaza Tol Sungai Besi ke Taman Teknologi Bukit Jalil dan arah selatan pula di kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban ke Bandar Ainsdale.
Sementara itu, Tambak Johor iaitu di Woodlands dari Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru di kedua-dua arah juga berdepan aliran trafik perlahan.
Keadaan sama juga dilaporkan di Lebuhraya KL-Karak (KLK) iaitu arah timur di Gombak ke Genting Sempah dan arah barat di hentian sebelah Gombak ke Plaza Tol Gombak.
LLM menasihati pengguna lebuhraya untuk merancang perjalanan dengan teliti dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik serta awasi sebarang halangan di setiap lorong.
Pengguna juga boleh dapatkan info trafik terkini lebuhraya bertol di talian hotline 1-800-88-7752 bermula jam 7 pagi hingga 10 malam, saluran media sosial LLM dan semak di www.llm.gov.my.
-Berita Harian


