IPOH: Dua wanita antara enam warga Bangladesh ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran yang dijalankan di kawasan kebun di Kampung Tualang 7, di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata warga Bangladesh masing-masing dua wanita dan dua lelaki berusia 32 hingga 49 tahun itu juga disyaki tiada dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, aktiviti persundalan itu dikesan ketika polis menjalankan Tugas Ronda Cegah Jenayah Khas di kebun kelapa itu jam 7.30 malam tadi.
“Keenam mereka ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti persundalan, selain disyaki tiada dokumen perjalanan yang sah. Semua barangan kes turut dirampas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Antara barangan dirampas di rumah tumpangan pekerja kebun itu, termasuk 16 keping kondom, minyak urut, tisu basah, wang tunai dan telefon bimbit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-Berita Harian


