KOTA BHARU: “Kami sentiasa rindukan mummy sejak tiga tahun lalu dan sentiasa berdoa supaya orang yang membunuh mummy ditahan dan mendapat hukuman setimpal.”
Demikian luahan Mohd Mustaqim Darwish Mustapha, 13, anak sulung Farah Emirah Mazlan yang ditemui mati dengan kesan tembakan di perut pada Jun 2022.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, setiap kali merindukan ibunya, dia akan berdoa dan kini sudah menerima keadaan bahawa ibunya sudah meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.
“Adik-adik iaitu Putra Falix Iskandar, 6 dan Nur Falisa Andriana, 8, ada ketikanya bertanya ‘mummy pergi mana tak balik lagi’. Adik-adik mungkin tidak faham sebab mereka masih kecil.
“Selepas dimaklumkan individu diburu polis yang dikatakan ada kaitan dengan kejadian menimpa mummy akhirnya ditahan, saya begitu gembira.
“Saya hanya berharap orang yang membunuh mummy menerima hukuman setimpal,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, seorang lelaki yang diburu polis sejak tiga tahun lalu bagi membantu siasatan berhubung kes wanita hamil tujuh bulan ditemui mati dengan kesan tembakan pada perut di Kampung Repek, di sini, pada Jun 2022, akhirnya ditahan polis.
Suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Bukit Lata, jam 7 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata suspek ditahan bersama rakan lelakinya yang juga berusia 24 tahun.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati dengan kesan tembakan dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Repek.
Mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga seorang peniaga ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu kereta Nissan Cefiro miliknya dan mempunyai kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri.
BHonline-


