PASIR MAS: Tempoh reman ke atas lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh wanita hamil dengan kesan tembakan di perut tiga tahun lalu, disambung seminggu lagi.
Kebenaran untuk menyambung reman ke atas suspek berusia 24 tahun sehingga Rabu depan dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang diburu polis sejak tiga tahun lalu bagi membantu siasatan berhubung kes wanita hamil tujuh bulan yang ditemui mati dengan kesan tembakan pada perut di Kampung Repek, di sini, pada Jun 2022 akhirnya ditahan polis.
Suspek ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Bukit Lata, jam 7 malam.
Dalam kejadian Jun 2022 , mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga seorang peniaga ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu kereta Nissan Cefiro miliknya dengan kesan tembakan pada bahagian perut sebelah kiri.
BHonline-


