MACHANG – Jabatan Peguam Negara menasihatkan penjawat awam agar tidak melibatkan diri dalam Himpunan Turun Anwar yang berlangsung pada Sabtu, sebagai menghormati etika dan tanggungjawab dalam perkhidmatan awam.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, sekiranya terdapat penjawat awam yang terlibat, tindakan lanjut adalah tertakluk kepada pertimbangan ketua jabatan masing-masing.
“Saya sudah nyatakan dalam kenyataan sebelum ini, penjawat awam ada tanggungjawab untuk kekalkan disiplin dan menunjukkan teladan yang baik.
“Kalau ada penglibatan, terpulang kepada ketua jabatan untuk sebarang tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Guru Besar SK Pulai Chondong, Mohd Zulhri Mat Rani.
Sebelum ini, perhimpunan berkenaan dijadual berlangsung di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan sebuah pusat beli-belah, sebelum para peserta bergerak ke Dataran Merdeka.
Menurut Mohd Dusuki, walaupun rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman, penjawat awam perlu lebih berhati-hati agar tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej atau neutraliti jabatan.
“Penjawat awam perlu kekal profesional dan menjaga imej institusi,” katanya.
Sementara itu, dalam program berkenaan, Mohd Dusuki yang juga bekas murid SK Pulai Chondong menyampaikan sumbangan berupa sebuah unit televisyen pintar serta wang tunai RM3,000 bagi manfaat pihak sekolah.
Program tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan Jabatan Peguam Negara serta warga pendidik dan pelajar sekolah berkenaan.
-Sinar Harian


