KUALA LUMPUR: Polis menggunakan dron bagi memantau himpunan pembangkang ditunjangi PAS di sekitar bandar raya ini.
Tinjauan mendapati teknologi itu dimanfaatkan di sekitar kawasan kompleks beli-belah Sogo dengan keadaan setakat ini masih terkawal meskipun jumlah kehadiran peserta semakin bertambah.
Sebahagian besar peserta yang hadir dilihat mengenakan pakaian serba hitam, manakala pihak polis bersiap siaga di beberapa lokasi strategik bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
Tinjauan setakat jam 11 pagi mendapati keadaan di sekitar Masjid Jamek Sultan Abdul Samad terkawal dengan anggota pasukan keselamatan giat melakukan pemantauan bagi melindungi ketenteraman awam.
Sementara itu, tinjauan juga mendapati ada dalam kalangan peserta himpunan pembangkang di ibu negara ini hari ini adalah individu dipercayai bawah umur, malah sesetengah peserta dilihat turut membawa anak kecil.
Walaupun himpunan ditunjangi PAS itu dijadual bermula sebelah petang, kanak-kanak bersama ibu bapa mereka dilihat berada di lokasi berkumpul sejak jam 10.30 pagi.
Ketika ditemui di Dataran Merdeka, seorang daripada remaja yang ditemui, mendakwa mengikut bapanya yang bertugas sebagai anggota Jabatan Amal Malaysia.
“Saya tak tahu, cuma ikut bapa bertugas di sini,” katanya.
Di perkarangan Masjid Jamek pula, seorang peserta himpunan yang membawa anak kecil, ketika ditanya wartawan, mengakui dia tahu mengenai larangan membawa mereka yang di bawah umur ke perhimpunan berkenaan.
Lelaki itu menambah, dia akan pulang ke rumah sekitar tengah hari kerana perlu bekerja dan akan datang semula ke lokasi perhimpunan selepas selesai bekerja pada sebelah petang.
Sementara itu, tinjauan setakat jam 11 pagi mendapati keadaan di sekitar Masjid Jamek Sultan Abdul Samad terkawal dengan anggota pasukan keselamatan giat melakukan pemantauan bagi melindungi ketenteraman awam.
-Berita Harian


