GERIK: Polis menjalankan siasatan menyeluruh termasuk aspek kecuaian pemandu dan faktor teknikal bagi mengenal pasti punca kemalangan maut membabitkan bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mengakibatkan 15 maut dan puluhan lagi cedera.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata siasatan kes kemalangan maut itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengambil kira pelbagai kemungkinan.
“Kita sedang meneliti sama ada kemalangan ini berpunca daripada kecuaian manusia atau kegagalan teknikal kenderaan. Semua sudut akan dikaji secara terperinci termasuk keadaan fizikal kenderaan, kelayakan pemandu, rekod saman lampau serta kelajuan ketika kejadian.
Pemeriksaan turut akan membabitkan kerjasama dari pihak ketiga iaitu PUSPAKOM, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik.
Noor Hisam berkata, siasatan berkenaan masih diperingkat awal dan pihaknya belum dapat merekodkan keterangan daripada pemandu bas yang cedera dan sedang menerima rawatan.
“Keadaan jalan di lokasi kejadian adalah berselekoh, menurun dan gelap. Tiada lampu jalan di kawasan itu kecuali berhampiran jambatan Tasik Banding. Kita juga tidak menolak kemungkinan keadaan geografi jalan turut menyumbang kepada kejadian.
Kemalangan ini berlaku waktu malam. Laporan awal menunjukkan bas melanggar belakang kenderaan Perodua Alza milik IPD yang juga sedang menghala ke Gerik. Bukan kemalangan bertembung,” katanya lagi.
Datuk Noor Hisam menambah, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya tidak boleh mendedahkan maklumat itu pada peringkat ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa bedah siasat ke atas mangsa dilakukan di dua hospital berbeza iaitu Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Gerik, manakala proses pengecaman dijangka mengambil masa berikutan jumlah jenazah yang ramai.
Untuk rekod, bas itu membawa 44 individu dari Jerteh, Terengganu membawa 42 orang pelajar UPSI lingkungan usia 21 hingga 23 tahun, pemandu dan kelindan.
13 mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.
BHonline-


