IPOH: Polis masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital bagi melengkapkan siasatan kes guru memuat naik hantaran jelik berhubung kemalangan maut mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata laporan perubatan itu yang besar kemungkinan menjelaskan keadaan psikiatri lelaki berkenaan akan disediakan Hospital Seri Manjung yang perlu bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kalau ikutkan, kertas siasatan di pihak polis sudah hampir siap, cuma perlu menunggu laporan perubatan daripada Hospital Seri Manjung sahaja. Sebaik kita terima laporan daripada pakar perubatan, kita akan majukan kertas siasatan lengkap kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Berkemungkinan sekali laporan itu berkaitan psikiatri, saya ingat mungkin ia berkaitan tingkah kelakuan atau psikiatri yang membuatkan dia bertindak (buat hantaran jelik),” katanya.
Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, di sini hari ini.
Kata Noor Hisam lagi, rakaman percakapan suspek sudah diambil, selain rampasan telefon bimbit milik guru itu untuk membantu siasatan lanjut.
Isnin lalu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman dilapor mengesahkan guru lelaki terbabit hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk diambil keterangan.
Hasbullah mengesahkan pihaknya membuka dua kertas siasatan iaitu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 berhubung tindakan guru terbabit berdasarkan satu laporan diterima pada 11 Jun.
Guru terbabit yang dikatakan bertugas di sebuah sekolah menengah di Perak mencetuskan kontroversi apabila memuat naik hantaran jelik yang kemudian tular sehingga mengguris hati ahli keluarga mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisam berkata, setakat ini seramai enam mangsa tragedi di Gerik itu masih dirawat di hospital.
BHonline-


