KUALA LUMPUR: Shell bakal menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkembangan itu dimaklumkan Perdana Menteri menerusi kenyataan selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan bersama delegasi di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Mengulas pertemuan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Sawan turut menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara.
“Justeru, beliau memaklumkan Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang bakal mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan jelas.
“Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan makmur dan berdaya saing,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Perdana Menteri berkata, beliau turut manfaatkan kesempatan dalam pertemuan itu untuk berkongsi mengenai pendekatan strategik Kerajaan MADANI.
“Saya manfaatkan kesempatan ini untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan stabil, mampan dan berdaya tahan, bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi generasi mendatang.
“Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga, tetapi sudah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama,” katanya.
BHonline-


