KUALA LUMPUR: “Saya tidak tahu bagaimana nak respons, kami dikejutkan dengan kehilangan seorang lagi saudara pagi ini,” kata Datuk Rajpal Singh mengenai penahanan tiga suspek pembunuhan anak saudaranya yang juga penuntut sebuah universiti tempatan di Cyberjaya, Sepang.
Ketiga-tiga suspek termasuk dua wanita berusia antara 19 hingga 20 tahun itu ditahan sekitar Johor Bahru dan Gemencheh, Negeri Sembilan semalam serta hari ini.
Mereka disyaki terbabit dengan pembunuhan Maniishapriet Kaur Akhara, 20, yang ditemukan dengan kesan kecederaan di kepala oleh rakannya dalam bilik penginapan disediakan pihak pengurusan universiti di sebuah kondominium di Cyberjaya, pada Selasa.
Rajpal yang juga peguam berkata, keluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes pembunuhan anak saudaranya itu.
“Saya dapat tahu mengenai penangkapan suspek itu melalui laporan berita. Saya belum sempat berhubung dengan pegawai penyiasat kerana menguruskan kematian.
“Saya berterima kasih dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Meskipun berita penahanan suspek itu mampu memberi sedikit kelegaan, namun Rajpal berkata, keluarganya masih bersedih apabila seorang lagi saudara meninggal dunia, selepas tiga hari kematian Manisha.
Beliau berkata, adik saudara perempuan berusia 57 tahun meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas kira-kira 3 pagi ini.
“Dia datang dari Johor Bahru untuk urusan kematian Manisha. Saya dapat panggilan beritahu adik saudara saya itu tidak sihat dan minta dibawa ke hospital.
“Namun, dia kemudian disahkan meninggal dunia. Saya tidak pasti apa punca kematiannya tapi mungkin dia terlalu penat dan stress (tertekan).
Beliau berkata, mayat mendiang adik saudaranya itu akan dibawa ke krematorium di Jalan Loke Yew di sini, iaitu lokasi sama pengurusan mendiang Manisha semalam.
Terdahulu, tiga suspek pembunuhan direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 3 Julai ini.
Tiga suspek terdiri dari seorang lelaki dan dua perempuan yang bergari tiba di Mahkamah Sepang pada jam 8.30 pagi dikawal oleh anggota polis.
Perintah reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Azaraorani Abdul Rahman bermula hari ini sehingga Khamis.
BHonline-


