KAJANG – Polis sedang memburu sekumpulan lima lelaki yang dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 10.10 malam daripada seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai kontraktor berusia 66 tahun, selepas dimaklumkan oleh jirannya mengenai kejadian itu.
“Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.30 malam, jiran pengadu terlihat beberapa lelaki tidak dikenali berlegar-legar di kawasan luar pagar belakang rumah mangsa.
“Pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lima lelaki berpakaian serba hitam datang dari arah jalan hutan di belakang rumah sebelum memanjat tembok dan cuba memasuki bahagian belakang kediaman itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Naazron berkata, siasatan mendapati pengadu tidak mengalami sebarang kerugian atau kehilangan barang.
“Hanya kerosakan pada pintu dan tingkap belakang rumah dilaporkan berlaku akibat perbuatan suspek,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau melihat kehadiran individu mencurigakan di kawasan kejiranan mereka diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4242 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Khairul Hafi Abd Ghani di talian 018-402 7665 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
-Sinar Harian