SHAH ALAM: Pengusaha syarikat lori yang terbabit dalam nahas kemalangan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, bulan lalu akan diheret ke mahkamah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pada masa sama keluarga mangsa juga boleh mengambil tindakan sivil terhadap syarikat berkenaan untuk mendapatkan ganti rugi dan pampasan selayaknya.
“Lesen pengendali (syarikat lori) telah pun dibatalkan dan keduanya, kita akan heret pemilik syarikat ke mahkamah (menerusi) JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya selepas Majlis Pelaksanaan Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 8.54 pagi 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU terkorban manakala sembilan lagi cedera selepas lori yang dinaiki mereka bertembung dengan lori `tipper’, dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, keputusan mengembalikan kuasa mengawal selia pengangkutan pelancongan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
Katanya, beliau tiada masalah berhubung kawal selia kuasa berkenaan khususnya membabitkan bas persiaran dan perkara itu sebenarnya sudah dibangkitkan oleh MOTAC sejak dua tahun lalu.
“MOTAC sebelum ini membuat kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) dan diedarkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum insiden (kemalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlaku.
“Saya hendak tegaskan perkara ini bukan sebabnya oleh insiden ini. Saya dah katakan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, saya tiada masalah kalau kamu boleh jamin bas persiaran selamat. Malah saya sangat gembira untuk menyerahkannya semula. Namun itu tertakluk kepada kuasa Jemaah Menteri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, MOTAC menggesa supaya kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan dikembalikan kepada kementerian itu susulan nahas bas di Gerik, Perak Isnin lalu yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI.
BHonline-