SHAH ALAM: Polis menyiasat jika terdapat elemen kongsi gelap dalam kes seorang lelaki yang ditemukan mati ditembak dalam sebuah pikap di hadapan sebuah kedai menjual motosikal di Taman Meru Utama, Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata setakat ini pihaknya sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang bekerja sendiri itu sedang menemani rakannya yang hendak membeli motosikal terpakai di kedai terbabit.
“Mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan proses bedah siasat masih dijalankan ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar kejadian.
Semalam, Vijaya Rao dilaporkan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 3.37 petang dan setibanya anggota di lokasi telah menemukan mayat warga tempatan berusia 46 tahun di tempat duduk pemandu dalam keadaan mengiring.
Sementara itu, seorang peniaga wanita berusia 50 an memberitahu beliau terdengar bunyi seakan tembakan atau mercun sekitar jam 3 petang.
“Saya dan beberapa orang lagi di kedai memang dengar bunyi itu, saya ingat orang tembak gagak (operasi menembak burung gagak) atau main mercun.
“Selepas saya lihat orang berkumpul di sekitar kereta mangsa, baru saya tahu bahawa ada orang kena tembak di hadapan kedai motosikal.
“Bunyi itu tidak begitu kuat tapi saya dengar dalam lima ke enam kali,” katanya.
BHonline-


