IPOH: Bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit nahas maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi ditempah atas inisiatif pelajar dan bukan program anjuran pihak universiti.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata bas persiaran itu disewa secara persendirian oleh pelajar sempena cuti Hari Raya Aidiladha dan mereka yang menaikinya dalam perjalanan pulang ke kampus di Tanjung Malim, selepas bercuti di kampung sekitar Terengganu.
“Kadang kala dalam kalangan pelajar universiti memang jadi kebiasaan mereka yang tinggal sekampung atau berdekatan akan sewa kenderaan khususnya bas atas kapasiti peribadi untuk balik kampung serta untuk perjalanan pulang semula ke UPSI.
“Jadi bas dinaiki mereka itu bukan disewa pihak UPSI, sebaliknya diuruskan atas inisiatif pelajar sendiri dan perkara ini sudah jadi kelaziman sejak dulu,” katanya kepada media di luar perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.
Md Amin berkata, UPSI menubuhkan bilik gerakan bagi membantu proses menguruskan mangsa dan keluarga, selain turut memberi pelbagai bantuan kebajikan termasuk penginapan serta kewangan bagi keluarga memerlukan.
“Kita akan memastikan kebajikan dijaga dengan baik, malah berterima kasih kepada Lembaga Pelawat Hospital HRPB yang menyediakan khemah untuk keluarga mangsa kemalangan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihak UPSI belum dapat mengesahkan identiti pelajar yang maut dalam nahas itu.
“Setakat ini apa yang diberitahu ialah 15 maut, tetapi butiran pelajar yang meninggal dunia belum dapat dipastikan kerana sedang dikenal pasti.
“Jadi kita belum boleh dedahkannya lagi buat masa ini kerana perlu tunggu ‘clearance’ (pelepasan) daripada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.
BHonline-


