KUALA LUMPUR: Seramai 182 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam dan kelmarin, dipercayai terpedaya selepas mendapat surat tawaran haji palsu yang kononnya dikeluarkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Mangsa dikatakan menerima surat menggunakan logo TH yang memaklumkan mereka dipilih calon bagi menunaikan haji kali ini dan urusan penempahan tiket serta hotel pula kononnya dilakukan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) berdaftar dengan TH.
Sumber berkata, kes itu dibongkar Pasukan Petugas Khas (Task Force) yang dibentuk untuk menangani isu jemaah haji terkandas dan membanteras penipuan pakej haji selepas syarikat PJH itu membuat semakan silang dengan TH bagi mengetahui sama ada kumpulan jemaah terbabit mendapat visa haji dan memerlukan penginapan di Makkah.
Katanya, selepas pengesahan TH diperoleh, syarikat PJH itu enggan melayani permintaan penganjur jemaah haji berkenaan dan kes dilaporkan kepada Task Force yang kemudian membuat pemantauan di KLIA serta mengesan kumpulan jemaah terkandas itu.
“Seramai 82 bakal jemaah haji yang berkumpul di KLIA pada Selasa lalu gagal terbang ke Tanah Suci pada jam 6 pagi semalam seperti dijanjikan kerana tiada tiket penerbangan dan visa dijanjikan.
“Semalam, baki 100 bakal jemaah lagi dijanjikan penerbangan pada jam 5.45 petang dan sebahagian besar mereka yang mengetahui kumpulan pertama gagal terbang pada awal pagi itu, tidak muncul di KLIA, manakala mereka yang datang kemudian pulang begitu saja,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penubuhan Task Force diterajui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dianggotai beberapa pihak berkuasa serta agensi kerajaan termasuk TH dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menangani isu jemaah haji terkandas serta membanteras penipuan pakej haji.
Task Force ini akan menangani isu terbabit secara bersepadu bagi menghentikan kesalahan dan penipuan berkaitan urusan haji di negara ini secara tuntas.
Polis setakat ini pula menerima tujuh laporan berhubung isu jemaah haji terkandas itu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Pasport dipegang scammer
Sumber berkata, walaupun pakej haji yang ditawarkan kepada 182 bakal jemaah itu adalah percuma, tetapi mangsa tetap mengalami kerugian kerana mengeluarkan kos tertentu bagi persediaan ke Tanah Suci.
Beliau berkata, pasport milik 182 jemaah itu juga dikatakan dipegang seorang individu dipercayai anggota kumpulan scammer yang menguruskan pakej haji palsu ini dan hanya diserahkan kepada jemaah jika mereka menarik semula laporan polis yang dibuat.
Susulan itu, katanya, tujuh daripada mangsa terbabit membuat laporan polis kelmarin.
“Dua daripada 182 mangsa itu adalah warga Singapura yang kononnya turut ditawarkan haji percuma.
“Sebenarnya memang wujud penerbangan ke Tanah Suci pada tarikh dan waktu dijanjikan tetapi semua nama bakal jemaah haji itu tiada dalam senarai penumpang.
“Mereka juga dijanjikan menaiki penerbangan menggunakan laluan VIP kerana pakej haji ditawarkan bertaraf VIP,” katanya.
BHonline-