Shah Alam: Remaja 16 tahun dan warga emas antara 169 individu ditahan menerusi Ops Tapis Khas Selangor di lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagih.
Polis Selangor dalam satu hantaran di Facebook berkata, operasi itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dengan menyasar kawasan perumahan kos rendah, kawasan perindustrian.
Menurutnya, sasaran membabitkan ‘pot’ dadah di sekitar daerah Subang Jaya, Serdang dan Petaling Jaya bermula 5 hingga 7 Mei lalu.
“Operasi bertujuan mengesan dan menangkap tokan dadah, serta mengambil tindakan ke atas penagih tegar, seterusnya memusnahkan pot-pot penagihan dadah.
“Seramai 169 orang terdiri daripada 157 lelaki dan 12 wanita ditahan membabitkan 155 rakyat tempatan serta 14 warga asing.
“Kesemua mereka berusia lingkungan 16 hingga 60 tahun, dan sebanyak 150 kes dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya hari ini.
Dalam hantaran sama Polis Selangor berkata, pasukan operasi merampas pelbagai jenis dadah antaranya syabu seberat 117.42 gram, ketamin (305g), ganja (31.57g), pil erimin 5 (25.99g), ekstasi (268.11g), heroin (6.50g) dan 13.35 liter air ketum kesemuanya bahan dianggarkan bernilai RM35,551.
Katanya, polis turur merampas sejumlah kenderaan dan wang tunai bernilai RM15,120.
-Harian Metro


