SEREMBAN: Pelajar Tingkatan Lima parah akibat dibelasah beramai-ramai dalam kejadian di Paroi, di sini awal pagi semalam, dipercayai menjadi mangsa silap identiti.
Remaja lelaki berusia 17 tahun mengalami patah tulang pipi dan tulang hidung, luka pada kepala, pendarahan mata dan kecederaan pada badan akibat kejadian kira-kira jam 1 pagi itu.
Bapanya yang tidak mahu nama didedahkan, berkata dia dihubungi anaknya itu kira-kira jam 3 pagi yang memaklumkan terbabit kemalangan sebelum mengetahui kejadian sebenar tengah hari semalam.
“Berdasarkan cerita anak dan rakannya, sebelum dia dibelasah beramai-ramai, berlaku pergaduhan kira-kira jam 12.30 tengah malam yang tidak serius antara rakan-rakan mereka di Taman Perwira, di sini, tetapi anak tidak terbabit.
“Salah seorang yang terbabit dalam pergaduhan itu, difahamkan kemalangan di Senawang dan koma. Adik-beradiknya syak kemalangan berpunca daripada pergaduhan sebelumnya dan anak saya juga didakwa terbabit.
“Saya tidak pasti bagaimana mereka dapat maklumat ini. Adik-beradik remaja kemalangan itu mengumpul rakan-rakan dan mula membawa anak saya serta tiga lagi remaja secara bergilir-gilir menaiki kereta ke satu lokasi di Paroi,” katanya ketika ditemui.
Beliau mendakwa, ketika berada di dalam kereta, anaknya mula dipukul dan setiba di Paroi, kira-kira 20 lelaki berusia 20-an sedang menunggu dan mangsa dipukul lagi secara beramai-beramai.
“Bagaimanapun, tiga kawannya tidak dipukul. Selepas dibelasah, anak saya dibawa berjumpa keluarga remaja terbabit nahas itu dan kebetulan beberapa kawan remaja berkenaan juga ada di situ dan mereka sahkan anak saya tidak terbabit.
“Keluarga remaja itu meminta maaf dan bawa anak saya ke klinik swasta. Saya difahamkan klinik swasta memberi surat rujukan supaya anak saya dibawa ke hospital, namun surat itu tidak diserahkan kepada anak,” katanya.
Dia mengakui kecewa dengan pihak yang mengambil tindakan sendiri tanpa usul periksa dan memperlakukan anaknya tanpa belas kasihan.
Jelas lelaki itu, dia dihubungi anaknya jam 3 pagi selepas dihantar semula ke Taman Perwira dan memaklumkan mahu tidur di rumah kawan, namun selepas didesak, mendakwa terbabit kemalangan.
“Saya sendiri ingat dia kemalangan dan tidak bertanya lanjut, namun ada rasa yang tidak kena. Kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, guru sekolahnya hubungi saya dan maklumkan yang dia sebenarnya bukan terbabit kemalangan.
“Saya buka telefon bimbit anak dan jumpa gambar dia dibelasah, baca perbualan rakan-rakannya dalam grup WhatsApp. Memang sah dia dibelasah dan saya terus buat laporan polis,” katanya.
Ujarnya, berdasarkan pemeriksaan doktor, kecederaan pada muka anaknya mungkin disebabkan objek selain ditendang pada bahagian badan dan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu dan masih menjalankan siasatan lanjut.#
-Berita Harian


