KUALA LUMPUR: Peguam mempersoalkan mengapa Datin Seri Pamela Ling Yueh dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 April, iaitu sehari lebih awal daripada tarikh asal yang dijadualkan.
Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga wanita itu, berkata tarikh 9 April itu juga adalah adalah hari Pamela dilaporkan hilang.
“Mengapa beliau (Pamela) diminta hadir sehari lebih awal? Adakah SPRM telah memaklumkan kepada polis mengenai siasatan agensi itu.
“Jika SPRM percaya bahawa beliau mempunyai maklumat sensitif atau yang boleh mendakwa seseorang, adakah agensi itu telah memaklumkan kepada polis tentang siapa ‘pihak yang berkepentingan’ itu?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah memberikan kebenaran kepada Pamela untuk mencabar penahanan dan larangan perjalanannya oleh SPRM dan Jabatan Imigresen.
Hakim Amarjeet Singh membenarkan permohonan Pamela untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas mendengar hujahan pihak-pihak di dalam kamar beliau pada 19 Mei.
Hakim berpendapat bahawa terdapat isu yang wajar dibicarakan dalam permohonan tersebut.
Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Faisal Md Noor, tidak membantah permohonan itu.
Sementara itu, peguam Pamela, Surendra Ananth, memberitahu bahawa pengurusan kes telah ditetapkan pada 3 Jun.
Pamela memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada 7 April, dua hari sebelum kehilangan beliau yang kemudian mendapat liputan meluas.
Pada 9 April, wanita kelahiran Sarawak itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas menaiki sebuah kenderaan e-hailing.
Satu laporan polis mengenai kehilangan beliau telah dibuat pada jam 3.02 petang pada hari sama.
SPRM sebelum itu telah mendapatkan waran tangkap terhadap Pamela pada 2 Disember tahun lalu daripada Mahkamah Majistret Putrajaya selepas beliau gagal mematuhi perintah hadir untuk sesi rakam keterangan bagi melengkapkan siasatan berkaitan pengubahan wang haram.
-Berita Harian


