KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing mendakwa dipaksa menekan butang ‘complete job’ sebelum penumpangnya, Pamela Ling Yueh, 42, dibawa masuk ke dalam satu daripada tiga kenderaan yang memintas mereka berhampiran Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, 9 April lalu.
Memetik laporan Harian Metro, pemandu terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Kok, 55, berkata dalam insiden sekitar jam 2 petang ketika beliau dalam perjalanan menghantar wanita berkenaan dari Velocity Tower, Cheras, ke pejabat SPRM.
Beliau berkata, kenderaan yang dipandunya dipintas dari arah depan, sisi dan belakang oleh tiga buah kereta sejurus menghampiri destinasi.
“Tiga individu keluar dari dua buah kereta, dua lelaki dan seorang wanita. Seorang lagi tidak keluar dari kereta ketiga.
“Kedua-dua lelaki memakai vest bertulis ‘polis’ manakala wanita itu berpakaian seragam polis.
“Mereka mendekati kereta saya dan memaklumkan ingin menahan wanita itu untuk siasatan, kononnya susulan satu laporan polis,” katanya.
Kok berkata, penumpangnya enggan keluar dari kenderaan, menyebabkan wanita berpakaian polis cuba menariknya keluar dari tempat duduk belakang.
Katanya, dua lelaki itu kemudian memberi jaminan bahawa wanita berkenaan hanya akan dibawa ke balai polis berhampiran untuk bantu siasatan.
“Sebaik dia setuju keluar, dia serahkan RM100 sebagai bayaran tambang. Saya dipaksa tekan butang lengkapkan perjalanan, kemudian mereka ambil kad pengenalan, lesen memandu dan nombor telefon saya,” katanya.
Kok berkata, beliau membuat laporan polis selepas kejadian kerana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, selain tidak dapat bekerja selama dua minggu sementara menunggu lesen baharu siap.
Dalam perkembangan berkaitan, polis masih menjalankan siasatan berhubung kehilangan Pamela Ling termasuk meneliti dakwaan bahawa wanita itu dilarikan individu menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Setakat ini, katanya, tiada sebarang permintaan wang tebusan diterima berhubung kehilangan wanita itu.
-Berita Harian