KUALA LUMPUR: Delegasi berprofil tinggi dari Jepun akan mengunjungi Malaysia minggu depan untuk membincangkan kerjasama lebih mendalam dalam Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) bagi mencapai sasaran penyahkarbonan, pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata berkata, pengukuhan kerjasama dengan Malaysia penting dalam menggerakkan tindakan bersama untuk membangunkan tenaga hijau dan teknologi mampan, secara dua hala, serantau dan global.
Kedatangan delegasi itu, yang akan berada di sini dari 5 hingga 6 Mei, adalah susulan kepada lawatan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba ke Malaysia pada Januari tahun ini, yang mana beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama AZEC.
Beliau berkata, banyak usaha niaga utama disusun sebagai usaha sama antara firma Jepun dan Petronas atau Tenaga Nasional Bhd, menggabungkan teknologi dengan kepintaran tempatan.
“Kerjasama sedemikian meletakkan Malaysia untuk sedia menjalinkan usaha sama dengan rakan AZEC yang lain, meningkatkan manfaat bagi seluruh masyarakat.
“Portfolio maju Malaysia menjadi penanda aras serantau, mencerminkan daya tarikan negara ini kepada pelabur,” katanya.
Dalam meletakkan teknologi pesat membangun dalam aliran utama, beliau berkata projek kecekapan tenaga boleh disepadukan dalam kehidupan seharian tanpa berlengah, dan memandangkan firma Jepun memiliki kelebihan perbandingan dalam bidang ini justeru, Jepun berkedudukan baik untuk menyokong usaha Malaysia.
Chitose Group Jepun laksana usaha sama penghasilan alga di Sarawak untuk SAF
Beliau berkata; kemudahan pemerangkapan karbon mikroalga di Sarawak untuk menghasilkan alga bagi pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) telah melibatkan Chitose Group dari Jepun dalam projek yang mewujudkan pekerjaan baharu, memacu pertumbuhan dan menyumbang kepada agenda tenaga hijau negeri.
Mengenai kenderaan hibrid — satu kepakaran Jepun yang menawarkan pengurangan karbon dioksida (CO2) sepanjang kitaran hayat yang lebih besar berbanding kenderaan elektrik bateri, beliau berkata penggunaan meluas model Perodua yang dibangunkan dengan kepakaran Jepun, bersama-sama dengan kenderaan hibrid Toyota dan Honda, boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan usaha penyahkarbonan di samping memelihara ekosistem automotif sedia ada di Malaysia.
“Hidrogen, ammonia dan CCS kini memasuki penggunaan skala penuh, memanfaatkan kelebihan teknologi Jepun, itu sebabnya kedua-dua negara ini perlu bersama-sama memacu fasa akan datang untuk meningkatkan bekalan dan permintaan,” katanya.
Bernama-


