SHAH ALAM: Lelaki berusia 28 tahun yang menikam seorang peminta sedekah hingga mati dalam kejadian di depan sebuah bank di Seksyen 18, tengah hari semalam, memiliki kad orang kurang upaya (OKU) lembam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata mangsa kejadian itu tidak memiliki kad OKU, namun memakai besi di kaki akibat kemalangan tiga tahun lalu.
Katanya, mangsa mempunyai isteri yang bekerja pengawal keselamatan dan tinggal di Taman Sentosa.
“Permohonan reman terhadap suspek dijalankan wad pemerhatian Hospital Shah Alam di hadapan Majistret Nur Azureen Zainalkefli pada jam 3.15 petang tadi.
“Majistret kemudian membenarkan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 1 Mei depan dan suspek dimasukkan ke wad pemerhatian kerana mengalami sawan.
“Suspek juga ada kad OKU lembam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan, seorang peminta sedekah sanggup menikam peminta sedekah lain sehingga mati angkara berebut kawasan.
Mohd Iqbal berkata, hasil siasatan mendapati mangsa lelaki tempatan berusia 40 tahun adalah peminta sedekah di sekitar kawasan bank itu, manakala suspek yang juga warga tempatan turut ingin meminta sedekah di lokasi sama.
“Ketika kejadian berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka berkaitan isu perebutan tempat meminta sedekah.
“Suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam bahagian dada mangsa beberapa kali hingga menyebabkan mangsa jatuh terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BHonline-