Kuala Terengganu: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya.
Tertuduh yang berusia 40 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun empat bulan di sebuah kampung di daerah ini, jam 7.30 pagi pada 18 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Bukhori Mat Zain.
-Harian Metro


