Kota Bharu: Seorang guru mengaji didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dan berkomunikasi secara seksual di Kubang Kerian, di sini, Mac hingga Jun lalu.
Tertuduh, Huzaifah Ismail, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual menggunakan telefon bimbit dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Lorong Paksu Daud, Kubang Kerian di sini pada tarikh antara 13 Mac hingga11 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(1)Akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 27 akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa yang sama.
Perbuatan itu dilakukan di lokasi yang sama jam 4.18 pagi dan 6 pagi pada 21 serta 26 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 Akta memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan dan tertuduh diwakili peguam, Nik Mohamad Naqib Mohamad Noor.
Terdahulu, Siti Hajar tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa adalah anak murid kepada tertuduh di kelas mengaji.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.
-Harian Metro


