KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini meluluskan bantuan tunai RM200 kepada 300 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di Kuantan, Pahang bagi meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Bantuan tunai itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam Program Back to School 2025 di Tunas Manja Group Mall, Kuantan, Ahad lalu.
“Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM800 juta bagi inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada semua pelajar sekolah di seluruh negara.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI amat menitikberatkan pendidikan dan mahu generasi hadapan tidak tercicir dalam bidang pendidikan,” kata Ahmad Farhan dalam hantaran di Facebook hari ini, yang turut dikongsikan oleh Perdana Menteri.
Agihan BAP sebanyak RM150 untuk murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025, telah diagihkan pada 12 Jan lepas, manakala untuk pelajar Tingkatan 6 semester 2 dan murid Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pada 16 Februari ini.
Agihan BAP untuk pelajar Tingkatan 6 baharu pula akan bermula 1 Julai ini.
Bernama-