SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada usaha membawa keluar Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Perpaduan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ahli Parlimen Bagan Datoh itu menjelaskan, beliau mengakui ada beberapa pertemuan dengan pimpinan pembangkang bagi menggerakkan usaha itu termasuk dengan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mendedahkan perincian lanjut mengenai perkara itu.
Pada sama katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengambil langkah berjaga-jaga.
“Rahsia. Kalau saya berkongsi dengan umum bukan lagi menjadi satu rahsia. Oleh sebab itu, biarlah saya berbincang dengan pemimpin-pemimpin tertentu sahaja.
“Saya juga telah memaklumkan secara terperinci kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya kita berjaga-jaga, agar pisang tidak berbuah dua kali.
“Dan bukan hanya Shahidan seorang yang bertemu dengan saya bercakap mengenai perkara yang sama,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung tindakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang secara terbuka mempelawa BN untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, wujud usaha menarik BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan membentuk kerajaan baharu selain menawarkan jawatan Perdana Menteri dari parti itu.
Ahmad Zahid sebelum ini menyifatkan tindakan itu sebagai usaha pembangkang untuk kembali menguasai kerajaan.
BHonline-