KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku bersalah di dua Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh pada Mei lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Muhammad Fesool Haron, 35, mengaku bersalah di hadapan Hakim K Muniandy atas pertuduhan memiliki satu rakaman video, 10 video dan lima tangkap layar berkaitan Daesh yang ditemukan dalam telefon bimbitnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di kawasan perindustrian Kempas, Johor Bahru, kira-kira jam 1.10 tengah hari 30 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda, serta pelucuthakan bahan terbabit, jika sabit kesalahan.
Sementara itu di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pula, Suhaini Sarwan, 46, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki artikel dan item berkaitan Daesh dalam telefon bimbit dan komputer ribanya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Kota Tinggi dan kawasan perindustrian Kempas, antara jam 1.15 petang dan 4.30 petang 30 Mei lalu.
Bagaimanapun, Suhaini mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan memberikan sokongan kepada Daesh melalui aplikasi Facebook yang menggunakan akaun ‘Suhaini Sarwan’ dan ‘Enma Kenma’.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 27 Mei lalu dan dikesan Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, pada jam 5.50 petang hari sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan denda, serta perampasan mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam kesalahan berkenaan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember ini untuk mendengar fakta dan menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Fesool, dan tarikh 9 Januari tahun depan bagi Suhaini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhurrazi Ahmad Salim.
Muhammad Fesool diwakili peguam, N Kanmani, manakala Suhaini diwakili peguam, Sazlinidayu Kamarul Baharin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Bernama-