TAWAU: Seorang saksi perbicaraan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu pada Mac lalu, mendakwa mangsa mengaku ada mengambil wang milik dua daripada 13 tertuduh sebelum memulangkannya semula.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pada prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, saksi pendakwaan ke-19 itu memberitahu, dia mendapat tahu perkara itu sewaktu ke bilik asrama 7 Resak, kira-kira jam 10 malam untuk mencari pensil warna kerana mahu menyiapkan tugasan yang perlu dihantar keesokannya.
Dia membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol pada perbicaraan kes 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, antara jam 9 malam pada 21 Mac hingga jam 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Menurut saksi berusia 19 tahun itu, dia melihat Mohamad Nazmie Aizzat atau Ijat bersama tertuduh kelima sedang berbincang di tengah bilik asrama 7 Resak kerana tertuduh mengesyaki mangsa mencuri duit.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak tahu pemilik sebenar wang yang didakwa dicuri sebelum melihat Mohamad Nazmie Aizzat pergi ke lokarnya dan mengeluarkan beberapa keping duit.
“Saya nampak Ijat pergi ke lokarnya dan mengeluarkan beberapa keping duit RM50, RM10, RM5 dan tiga keping RM1 dan menyerahkan kepada tertuduh kelima. Ijat mengaku dia yang curi duit dan saya dengar dia cakap ‘iya, aku ambil’,” menurut saksi berkenaan.
Saksi itu memberitahu mahkamah, tertuduh kelima bersama tertuduh pertama dan tertuduh keempat kemudian terus memukul mangsa dan dia cuba menghalang dengan menolak mereka sehingga berhenti memukul mangsa.
Kumpulan 13 pelajar berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Penuntut Diploma Senibina Lanskap di Kolej Vokasional Lahad Datu itu bagaimanapun mendakwa tidak perasan siapa yang mula memukul mangsa kerana kejadian berlaku secara tiba-tiba, namun mengesahkan ketiga-tiga tertuduh memang ada memukul Ijat.
Jelas saksi itu lagi, selepas meleraikan pergaduhan itu, dia terus beredar ke bilik lain, termasuk bilik 6 Resak, tetapi tidak menjumpai pensil warna yang sesuai dan tidak tahu sama ada tiga tertuduh terus memukul mangsa.
Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, saksi itu memaklumkan, kira-kira sejam selepas kejadian Ijat dipukul di bilik asrama 7 Resak, dia sekali lagi melihat mangsa di bilik asrama 5 Belian pula dengan kesan lebam.
Nur Nisla: Selepas satu jam, kamu nampak lagi ijat di bilik 5 belian, betul?
Saksi: Ya
Nur Nisla: Adakah kamu ingat macam mana dia berpakaian pada masa itu?
Saksi: Tidak pasti.
Nur Nisla: Kamu kata badan Ijat banyak lebam. Saya rujuk kamu gambar ID3(1-34) adakah lebam yang kamu lihat pada badan belakang ijat?
Saksi: Ada. Gambar nombor 23.
Nur Nisla: Tadi kamu katakan tidak pasti jika ijat pakai baju, betul?
Saksi: Betul.
Nur Nisla: Jadi, kalau tidak pasti bagaimana kamu nampak lebam di belakang badannya?
Saksi: Saya jawab tidak pasti sebab masa itu saya guna flash telefon untuk tengok kesan lebam.
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Mohamed Zairi Zainal Abidin, saksi itu tidak bersetuju menyangkal usul peguam bahawa dia tidak melaporkan kejadian Ijat dipukul di dua lokasi, iaitu bilik 7 Resak dan bilik 5 Belian kerana turut terlibat memukul mangsa.
Zairi: Saya katakan kepada kamu yang anak guam saya (tertuduh kedua) ada panggil 18 orang yang terlibat dalam kejadian itu untuk keluar semasa perhimpunan, setuju?
Saksi: Tidak pasti
Zairi: Masa panggil 18 orang keluar, kamu tiada semasa perhimpunan itu, betul?
Saksi: Saya ada di perrhimpunan, tapi tidak pasti berapa orang dipanggil.
Zairi: Kamu salah seorang yang dipanggil keluar sebelum diarahkan pergi ke Pejabat Pentadbiran, setuju?
Saksi: Tidak setuju.
BHonline-