KULAI: Biarpun kurang bergaul dengan jiran, dua beradik yang ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka didapati saling menyayangi hingga hujung nyawa.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Seorang jiran mangsa yang dikenali sebagai Goh berkata, kediaman itu didiami dua warga emas keturunan Tionghua termasuk seorang lelaki dan seorang wanita.
Menurutnya, lelaki berkenaan adalah adik dan wanita berkenaan adalah kakaknya.
“Kedua-dua mereka hidup membujang, mereka juga dipercayai tiada waris.
“Mereka memang tidak bergaul dengan jiran namun sehingga kini mereka juga tidak pernah menimbulkan masalah.
“Kebiasaannya lelaki berkenaan akan keluar rumah untuk membelikan makanan untuk kakaknya yang difahamkan kurang sihat,” katanya ketika ditemui.
Semalam media melaporkan kisah misteri dua beradik warga emas tidak kelihatan oleh jiran mereka sejak beberapa hari lalu terjawab apabila kedua-duanya ditemukan meninggal dunia di kediaman keluarga di Jalan Selendang, Taman Mewah di sini.
Difahamkan, mayat adik-beradik itu ditemukan selepas seorang jiran mereka terhidu bau busuk dari rumah mereka sebelum melaporkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee mengesahkan menerima laporan berkaitan dua warga emas itu yang berusia 65 dan 67 tahun.
Siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut buat masa ini.
BHonline-