PETALING JAYA – Polis tidak menolak kemungkinan seorang pereka dalaman yang maut akibat ditikam di sebuah unit apartment dekat Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara di sini pada Ahad mempunyai kaitan kes samun.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, siasatan mendapati beberapa barangan milik mangsa juga dipercayai hilang dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan mendapati barangan mangsa seperti beg duit dan telefon bimbit disyaki telah dicuri.
“Kemungkinan kejadian ini merupakan kes pecah rumah dan menjadi kes samun hingga menyebabkan kematian mangsa,” katanya pada Ahad.
Katanya, siasatan mendapati mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan.
“Rumah itu dipercayai dibeli mangsa pada tahun lepas dan mangsa tinggal seorang diri.
“Siasatan mendapati mangsa dianggarkan ditikam 20 kali berdasarkan kesan tikaman pada sebelah kiri rusuk, tikaman di kepala dan tikaman di kedua pergelangan tangan,” katanya.
Menurutnya, siasatan turut mendapati suspek dalam kes ini juga tercedera semasa bergelut dengan mangsa.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan mana-mana individu yang cedera akibat ditikam diminta segera melaporan kepada pihak polis,” katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang lelaki maut ditikam 20 kali selepas disyaki terlibat pergaduhan dengan seorang individu yang belum dikenal pasti di sebuah pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, dekat sini kira-kira pukul 11 malam semalam.
-Sinar Harian