BATANG KALI – Semua pihak perlu memberikan kerjasama menyeluruh bagi memberikan kesan positif kepada usaha kerajaan, untuk menokhtahkan isu keciciran pembelajaran di negara ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anak-anak bangsa tidak boleh dibiarkan tercicir, malah mesti diberikan segala kerjasama serta bantuan untuk meningkatkan keupayaan mereka secara bersama.
“Kita perlu beri mereka ini ruang dan peluang kedua dalam pendidikan, keciciran bukan perkara baharu tetapi menjadi lebih rumit dan mencabar, tatkala kita mendepani permasalahan Covid-19.
“Ibu bapa (juga) harus mempunyai tanggungjawab. Guru-guru terpaksa dibebankan kerana mempunyai tanggungjawab menyelamatkan anak bangsa yang tercicir dan anak-anak harus ambil kesempatan ini dengan sebaiknya. Tidak ada sebab mengapa tidak mungkin kita bangkit dan bernafas semula,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman ucapan yang disiarkan pada Majlis Pelancaran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa di sini pada Jumaat yang dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Anwar berkata, biarpun peruntukan kepada KPM pada Belanjawan 2024 mencecah RM58.7 bilion, namun peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta diberikan untuk melaksanakan Program Anak Kita, bagi mengatasi isu keciciran.
“Peruntukan tambahan ini (yang peruntukan telah sedia ada di dalam Belanjawan 2024) diberikan melihatkan kepada keprihatinan KPM (terhadap isu keciciran) dan supaya tidak membebankan kementerian dengan tanggungjawab sedia ada,” katanya.
Beliau juga berharap Program Anak Kita melibatkan jalinan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Yayasan Hasnah, pihak swasta dan masyarakat sivil itu, dimanfaatkan sebaiknya.
“Supaya kita dapat menggunakan peluang ini dalam pelbagai bidang termasuk beberapa inisiatif baharu dalam bidang digital, IT (teknologi maklumat) yang sangat diperlukan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata, dengan usaha yang dilakukan ini, diharapkan akan dapat memberikan makna kepada usaha menokhtahkan kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan Madani kerana keciciran dalam bidang pendidikan itu terkait secara langsung dengan masalah kemiskinan.
Program Anak Kita antara lain memberi tumpuan kepada intervensi terhadap golongan murid dan pelajar dengan asas pendidikan kurang baik menerusi penyediaan khidmat tuisyen, pembelajaran bersemuka serta hibrid di luar waktu persekolahan.
Lebih 83,000 murid terima manfaat fasa pertama Program Anak Kita
Seramai 83,752 murid melibatkan 3,458 sekolah seluruh negara akan menerima manfaat daripada pelaksanaan fasa satu Program Anak Kita yang bertujuan mengatasi isu keciciran pembelajaran di negara ini.
Fadhlina berkata, pelaksanaan itu merangkumi tiga pengisian iaitu Program 3M (membaca, mengira dan menulis), Program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Program Murid Cicir.
“Untuk Program 3M libatkan 53,252 murid pemulihan khas tahun dua hingga enam daripada Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak manakala Program SPM di seluruh negara merangkumi 10,000 murid Tingkatan 5 (SPM 2024) serta 20,000 murid Tingkatan 4 (SPM 2025).
“Bagi Program Murid Cicir pula akan melibatkan 500 murid keciciran dari enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Anak Kita di Sekolah Kebangsaan Rasa yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi tayangan video.
Fadhlina berkata, isu kemiskinan kekal menjadi naratif utama keciciran anak-anak dalam pelajaran, selain isu sosial.
“Jadi komitmen besar kita dalam intervensi menerusi Program Anak Kita ini untuk pastikan golongan ini kembali dapat pendidikan tanpa ada lagi ketinggalan atau keciciran kerana kita tahu mereka ini masih ada potensi untuk dibantu dan ditingkatkan keupayaannya.
“Semua (golongan tumpuan) dalam program ini adalah daripada hasil data yang kita kumpulkan dan mereka akan diberi bantuan sama ada kemudahan tuisyen, pembelajaran bersemuka dan hibrid selain program mentor-mentee,” katanya.
Menurut Fadhlina, pelaksanaan inisiatif berkenaan juga tidak menambah beban atau mengganggu warga pendidik kerana dilakukan di luar sesi persekolahan dan dikendalikan oleh tenaga pengajar luar.
“Kita juga letakkan tanda aras (benchmark) tertentu dalam pelaksanaan program ini dan yakin ikhtiar ini hasilnya akan dapat dilihat seawal tahun hadapan terutamanya Program SPM bila kita boleh nilai menerusi keputusan dicapai pelajar dalam peperiksaan itu pada tahun hadapan,” katanya.
SinarHarian-