Kota Bharu : Jururawat yang dipercayai memberi susu kepada bayi lelaki berusia 30 hari sebelum mangsa didapati meninggal dunia di pusat jagaan berpantang, kelmarin, ditahan reman tujuh hari.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Suspek wanita berusia 22 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Selasa depan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu media melaporkan, bayi lelaki berusia sebulan meninggal dunia di sebuah pusat jagaan berpantang, di sini, petang kelmarin.
Bayi berkenaan dikatakan tidak sedarkan diri, jam 5.30 petang, selepas diberikan susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, dilaporkan berkata, mangsa di bawa ke Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC) untuk rawatan dan disahkan sudah meninggal dunia.
Susulan kejadian itu katanya, polis menahan jururawat terbabit.
-Harian Metro