SHAH ALAM : Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menyokong serta memainkan peranan menjayakan aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 20 negara teratas dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri mahu penyelidik, pembangun dan pembuat keputusan bekerjasama membangunkan teknologi terkait AI serta mengaplikasikannya secara bertanggungjawab dan beretika.
“Kita telah bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI negara dari segi membina pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, termasuk membina sistem pengkomputeran ‘awan’ AI Malaysia sendiri.
“Pada masa sama, saya juga ingin menegaskan bahawa nilai-nilai manusia, perlindungan data dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, semuanya terkesan serta diberi makna yang baharu oleh teknologi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Keusahawanan Dalam Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Pendidikan Sains (InvENT 2024) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Namun di sebalik peranan AI dalam membantu meningkatkan kualiti hidup, kecekapan dan kreativiti manusia, Anwar berkata, aplikasi moden serta dinamik itu juga ada sisi gelap yang perlu disedari oleh masyarakat.
Perdana Menteri berkata, teknologi ‘deepfake’ berupaya menghakis kepercayaan kepada realiti digital dan secara asasnya mengubah persepsi masyarakat terhadap realiti, mengancam integriti maklumat serta menimbulkan kekeliruan.
Beliau berkata, pendekatan umum kerajaan ialah meminimumkan risiko dengan cara mengenal pasti risiko berkait dengan impak AI dalam masyarakat dan kehidupan rakyat.
“Namun pada masa sama, kita memerlukan dasar dan undang-undang demi mengelakkan isu ketirisan tatakelola AI,” katanya.
Anwar turut menyentuh mengenai bidang kawal selia, selain memaklumkan bahawa Malaysia kini terbabit secara aktif dalam membentuk kerjasama ekonomi digital pada peringkat ASEAN, antaranya Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) serta Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 yang dibentangkan pada Mac lalu.
Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi juga sedang dalam peringkat akhir merangka RUU untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), selain RUU perkongsian data nasional yang sedang digubal oleh Jabatan Digital Negara (JDN).
–BERNAMA