KUALA LUMPUR – Jumlah pengundi yang ramai, faktor komposisi kaum serta media sosial adalah antara tiga cabaran utama yang perlu ditangani jentera Barisan Nasional (BN), dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK), bulan depan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah pengundi seramai 66,000 dengan 29 Pusat Daerah Mengundi (PDM), menuntut kerja keras daripada jentera untuk bertemu seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh kempen.
“Berbeza dengan DUN Nenggiri yang 99 peratus pengundinya Melayu, tapi di Mahkota pecahan antara kaum itu berbeza. Di Mahkota pengundi Melayu lebih kurang 54 peratus, Cina 35 peratus dan India lebih kurang lapan peratus.
“Ini membawa kepada cabaran kedua iaitu pecahan kaum yang bermakna jentera perlu berhadapan dengan pola pemikiran berbeza mengikut kaum,” katanya kepada Bernama.
Selain itu Ahmad Maslan yang juga timbalan pengarah pilihan raya DUN Mahkota berkata, cabaran terbesar yang boleh menggugat peluang calon BN pada PRK tersebut ialah capaian kepada media sosial.
“(Di DUN Mahkota) Kami tiada cabaran prasarana, pembangunan semua sudah lengkap di situ. Satu lagi ialah cabaran media sosial kerana kawasan itu lengkap dengan segala fasiliti yang memungkinkan media sosial mudah menembusi. Ini memang terbuka dengan kecaman dan serangan media sosial,” katanya.
Justeru beliau berharap agar jentera parti yang bakal digerakkan nanti akan lebih aktif menangani isu tempatan dan nasional dengan lebih berkesan di media sosial, dalam usaha meraih sokongan pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor pada 2022, penyandangnya Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang, menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Tagiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).
Bernama-