Kuala Selangor : Enam kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam operasi bersepadu premis warga asing di Saujana Utama, Sungai Buloh, Khamis lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Operasi yang bermula jam 9.30 pagi hingga 2.30 petang itu menyaksikan sebuah premis diarah tutup dan dua lagi disita.
Ia disertai 52 kakitangan dan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
MPKS dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasa melakukan operasi itu yang bertujuan untuk semakan dan membanteras aktiviti penyalahgunaan lesen perniagaan kepada warga asing.
“Sebanyak 11 premis diperiksa melibatkan perniagaan kedai runcit, restoran dan bengkel.
“Kompaun yang dikeluarkan membabitkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, kebersihan premis dan gagal mempamerkan lesen perniagaan,” katanya.
Menurutnya, JKDM Zon Tengah II (Selangor) turut membuat sitaan rokok putih sebanyak 44 karton bersamaan 8,508 batang dan 39 karton rokok kretek membabitkan 6,640 batang.
Semua barang kes dibawa ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut.
-Harian Metro